Saturday 24 November 2012

Pakar Matematik Bertaraf Dunia

UMURNYA baru 29 tahun tetapi pencapaian dalam bidang matematik sangat mengagumkan. Dengan penampilannya yang besederhana, pasti ramai yang tidak menyangka Mohd. Suhaimi Ramly ialah seorang pakar matematik bertaraf dunia.
Bermula sebagai wakil negara dalam Pertandingan Matematik Olimpiad Antarabangsa (IMO) di Romania ketika berusia 16 tahun, Suhaimi kini bergelar pakar matematik bertaraf dunia.
Walaupun penyertaan kali pertamanya pada tahun 1999 itu tidak membuahkan hasil, ia tetap dianggap pengalaman bernilai yang memacu minatnya untuk berusaha lebih gigih.
“Sebelum ke IMO, saya menyertai Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) dan pernah meraih anugerah juara pada 1998 dan 2000.
“Ia keputusan yang tidak dijangka kerana saya memasuki OMK tanpa sebarang latihan. Selepas itu, barulah saya ditawarkan untuk berlatih bersama Prof. Abu Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewakili negara,” ujar bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka ini.
Pingat pertama negara
Kerja kerasnya berbaloi apabila terpilih sekali lagi untuk mewakili negara dalam pertandingan sama pada tahun berikutnya. Kali ini, dewan besar di Korea Selatan menjadi medan perjuangan Suhaimi.
“Alhamdulillah, saya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk negara. Ia adalah pingat pertama untuk Malaysia sejak menyertai pertandingan berprestij tersebut sejak tahun 1995,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur.
Tahun berikutnya, dia sekali lagi dipilih mewakili negara ke pertandingan sama. Kali ini, Suhaimi dan enam orang rakan terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menduduki peperiksaan IMO. Dengan mendapat satu jawapan betul, dia layak menerima Sijil Sanjungan Terhormat.
“IMO adalah satu pertandingan matematik bertaraf dunia untuk pelajar sekolah menengah. Lebih 100 negara mengambil bahagian dengan setiap negara menghantar enam orang wakil.
“Pertandingan ini tiada kategori. Lebih 500 pelajar pintar matematik dari seluruh dunia akan duduk dalam satu dewan besar untuk menjawab peperiksaan. Had umur yang ditetapkan ialah bawah 20 tahun dan belum memasuki universiti.
“Semua peserta tidak kira yang berusia 13 tahun hingga 20 tahun akan duduk dalam satu dewan dan menjawab soalan yang sama.
Gugup
Mengimbau pengalamannya bertanding di peringkat dunia, Suhaimi akui dia tidak dapat lari daripada perasaan gugup dan gementar terutamanya ketika kali pertama dia mewakili negara.
“Saya masih ingat lagi bila saya mendapat kertas soalan, saya hanya pandang soalan berjam-jam lamanya. Soalannya terlalu sukar sehinggakan saya tidak tahu dari mana saya harus mula menjawab.
“Sedar-sedar masa sudah tinggal setengah jam dan dalam masa yang terlalu singkat itu tidak banyak yang mampu saya lakukan,” kenangnya yang suka mengisi masa lapang dengan menyelesaikan soalan matematik.
Katanya lagi, minat terhadap subjek kira-kira itu bercambah ketika belajar di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Suhaimi sangat berterima kasih kepada guru matematiknya ketika itu, Cikgu Chiu Kam Choon.
“Beliau adalah insan yang membuatkan saya jatuh cinta pada matematik. Bagi saya, pengajarannya sangat berkesan dan sejak itu saya tidak lagi menganggap subjek mengira ini susah,” ujarnya yang kini menjadi Ketua Jurulatih Negara untuk IMO.
Julai depan, Suhaimi akan mengetuai pasukan negara bersama enam orang peserta untuk mengikuti IMO di Amsterdam, Belanda. Kali ini, dua peserta berusia 15 tahun turut terpilih mewakili negara ke pertandingan tersebut.
Selain dibiayai oleh Kementerian Pelajaran, badan korporat ExxonMobil turut sama menaja kumpulan Malaysia ke IMO.
“Para peserta perlu menjalani latihan intensif selama sekurang-kurangnya 250 jam sebelum layak memasuki IMO. Walaupun yang mendaftar itu semunya sering mendapat markah tertinggi dalam subjek ini, mereka perlu kuat berusaha dan berlatih sekurang-kurangnya empat jam sehari.

Perkembangan Kurikulum Matematik di Malaysia

Pendidikan matematik awalan di Malaysia mementingkan kemahiran mengira mudah di sekolah rendah. Pendekatan yang serupa juga diguna pakai di sekolah menengah. Aritmetik, geometri dan algebra diajar secara terpisah-pisah tanpa sebarang usaha ke arah kesepaduan. Perbincangan berikut memperihalkan beberapa jawatankuasa utama yang telah menentukan hala tuju kurikulum matematik di Malaysia.

i. Laporan Razak (1956) Kurikulum pendidikan matematik yang rasmi hanya diguna pakai bermula 1956 selepas cadangan Penyata Razak supaya semua sekolah kerajaan berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sedikit perubahan tajuk pada kurikulum yang rasmi itu. Perubahan besar hanya berlaku selepas pelaksanaan Projek Khas pada 1970.

ii. Laporan Projek Khas (1970) Projek Khas Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh En.Abu Hassan Ali. Objektif projek ini ialah untuk memperbaiki mutu pendidikan matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik moden di negara-negara maju. Bahan-bahan pengajaran-pembelajaran direka cipta oleh pensyarah dan guru yang telah dilatih di luar negara. Hanya terdapat sedikit perubahan kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini. Walau bagaimanapun, strategi serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan. Kaedah inkuiri-penemuan digalakkan. Program ini telah diubahsuai dan diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari masa ke semasa sehingga ianya digantikan dengan Matematik KBSR

iii. Program Matematik Moden (1970) Program Matematik Moden diperkenalkan ke sekolah rendah dan menengah pada awal tahun 70an. Tujuan utama program ini ialah memperkenalkan tajuk-tajuk moden di ketika itu seperti teori set, statistik dan vektor yang dipermudahkan. Selain itu, pendekatan tradisi digantikan dengan kaedah semasa. Sukatan Matematik Moden dirancang oleh Panitia Kurikulum Matematik yang ditubuhkan pada 1969. Sukatan berkenaan dirancang selepas diadakan kajian terhadap kurikulum British School Mathematics Project (SMP) dan Scottish Mathematics Group (SMG). Panitia berkenaan memilih sukatan SMG kerana ianya lebih sesuai bagi murid pelbagai kebolehan di sekolah menengah rendah. Pada 1972, topik-topik SMP telah diguna pakai bagi pendidikan matematik di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kerana panitia berkenaan mendapati bahawa ianya lebih sesuai bagi tujuan peperiksaan Sukatan Matematik. Dua buah buku teks iaitu Matematik Moden Tingkatan Empat dan Matematik Moden Tingkatan Lima telah diterbitkan pada 1974 dan 1975. Seterusnya, kedua-dua sukatan menengah rendah dan menengah atas iaitu Sukatan Matematik Moden Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima telah disatukan pada 1978. Satu pertiga daripada Sukatan Matematik Moden mengandungi topik-topik baru seperti sistem pernomboran, pemetaan, transformasi geometri, matriks dan statistik. Strategi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid dan bahan manipulasi terus digalakkan.

iv. Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983) KBSR dilaksanakan pada tahun 1983 berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979). Melaluinya, kurikulum matematik telah mengalami perubahan yang besar daripada Kurikulum Matematik Moden. Perubahan utama ialah mengurangkan kandungan matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan kebolehan murid. Sukatan pelajaran dibahagi kepada dua iaitu Aras I dan Aras II. Aras I (Tahun 1 – Tahun 3) mementingkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas penomboran serta pelaksanaan empat operasi asas matematik (+, -, ÷ dan x). Aras II (Tahun 4 – Tahun 6) pula mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas serta penyelesaian masalah matematik. Kurikulum ini bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama bagi semua murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan untuk mengembangkan kemahiran mengira di kalangan murid. Mereka perlu juga menguasai kemahiran-kemahiran asas matematik.

v. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1994) Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1994. Manakala kurikulum matematik sekolah menengah juga mengalami perubahan daripada Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1989) kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1998. Perubahan yang dibuat adalah selaras dengan kehendak dan cita-cita murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994. Matlamat utama Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah bertujuan untuk memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran asas mengira.

 Dengan ini, diharapkan pelajar dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dengan berkesan. Berasaskan pengetahuan matematik yang diperolehi, pelajar seharusnya boleh menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih sistematik. Ini dapat membantu mereka untuk terus maju dan melanjutkan pelajaran di masa akan datang dan menyumbang kepada pembentukan modal insane yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan negara. (Sukatan Matematik Sekolah Rendah: April 1993) vi. Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998) Berikutan pelancaran Sekolah Bestari (1995) dan memenuhi keperluan IT (Teknologi Maklumat) seperti yang terdapat dalam cabaran visi 2020, sukatan matematik telah disemak semula. Semakan sukatan matematik pada tahun 1998 mempastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan dapat menggunakannya dalam situasi harian sepenuhnya. Jawatankuasa yang berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada sembilan tajuk utama. Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk- tajuknya ialah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf.

Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik dan menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020. Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.